Sunday, February 03, 2013

[Jejak] Shariff bin Awang, The Malaysian Fenderman

ALLAHYARHAM Shariff bin Awang atau lebih dikenal dengan panggilan M Shariff. Dia merupakan salah seorang penyanyi irama pop yeh yeh yang mula berkecimpung dalam bidang musik sekitar akhir 1960-an.

Shariff dilahirkan di Ipoh, Perak. Dia berkecimpung dalam bidang musik sejak di bangku sekolah. Di antara konser terawalnya bermula di Singapura sekitar akhir 1960-an, selain muncul dalam acara hiburan terbitan TV Malaysia ketika itu. Pada 1970, dia merekam buat pertama kalinya dengan kumpulan The Zurah untuk empat lagu Inggeris dalam satu EP. Kemudian, dia merekam dalam bahasa Melayu dengan lagu “Keindahan Pantai” (lagu asal: “Suddenly She Loves Me” persembahan The Tremeloes) keluaran M Shariff’s Scope miliknya sendiri pada tahun yang sama. M Shariff juga banyak merekam dengan kumpulan MMI/Royal, kebanyakannya lagu-lagu saduran Hindi. Untuk tujuan ini, dia juga sempat ke India dan berguru dengan komposer terkenal Shankar Jaikishan untuk memantapkan persembahannya.

M Shariff menyepi seketika karena memberi tumpuan terhadap perniagaan menjual/menyewa peralatan musik. Namanya muncul kembali dengan usahanya, konser irama pop yeh yeh 60-an yang mengembalikan kegilaan terhadap musik pop yeh yeh diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di mana ramai artis-artis 60an dikumpulkan dalam satu persembahan amal untuk membantu bencana kelaparan di Afrika pada 1985.

Sejak itu, dia aktif ersama kumpulan The Zurah II yang ditubuhkannya sendiri dengan ahli-ahli baru, sama ada merekam suara mereka sendiri maupun sebagai pengiring kepada artis-artis seangkatannya yang membuat rekaman lagu masing-masing. Pada 1996, sekali lagi dia mengusahakan persembahan artis-artis 60-an di bawah konser “Masih Ada Yang Sayang” di Stadium Merdeka untuk membantu pengobatan untuk Allahyarham A Ramlie yang ketika itu menderita penyakit parkinson.

Pada masa ini, dia terus merekam album-album baru misalnya Untukmu Hijau Kuning dan M Shariff Goes International. Kehebatannya bermain gitar elektrik mendapat pengakuan antarabangsa dan dia dinobatkan sebagai The Malaysian Fenderman oleh syarikat pembuat gitar elektrik dari Amerika Syarikat.

Dia juga merupakan ahli Klub Irama 60-an Zon Selatan yang bermarkas di Melaka dan juga berkhidmat di Balai Rakyat Woodlands dalam Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC). Kumpulan Zurah II, Almarhum M Shariff juga merupakan seorang penerbit album, antara artis artis bawah kelolaannya ialah Jefry Din, M Shariff, S Jibeng, Datuk M Daud Kilau, Rocky Din, Pak Man Telo dan Cik dan beberapa kumpulan rock, antaranya album Battle of the Bands 1 dan 2 adalah hasil terbitannya seperti kumpulan Lefthanded, Ella and The Boys, Rahim Maarof, SYJ (Sofea), May, Metallian, Burnmarks and Bloodshed (album sulung mereka juga di terbitkan oleh M Shariff) pada sekitar 1986/87.

M Shariff meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat komplikasi penyakit kencing manis yang dihidapinya selama 15 tahun - meninggalkan seorang istri yakni Farida Mohd Salleh dan tiga orang anak. Dua orang anaknya terlibat secara langsung di bidang seni. Anak lelakinya pernah menyertai kumpulan rap kanak-kanak City Kids manakala anak perempuannya Syafiza menjadi pengacara di TV3.(fed)


Sumber: Riau Pos, Minggu, 3 Februari 2013


No comments: