Sunday, August 26, 2012

[Jejak] Tuan Hussein Kedah, Lebai yang Rajin Mengembara

TUAN Hussein selalu berpesan agar setiap pekerjaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, dengan usaha sendiri dan hasil pendapatan itu akan lebih berkat.

Selepas menamatkan pengajian di Fathani, Tuan Hussein mengembara ke Kelantan. Di sana beliau tinggal beberapa ketika meneruskan pengajiannya di sekolah pondok yang termasyur ketika itu.

Dalam tahun 1882 M/1300 H, Tuan Hussein menumpang tongkang dari Kelantan menuju Terengganu dan tinggal di sana lebih kurang satu tahun sebelum menumpang tongkang ke Singapura.

Pada 1886 Tuan Hussein ke Johor sebelum meneruskan pelajarannya ke Melaka. Dalam perjalanan ke Melaka ketika sampai di Muar tak ada sampan untuk menyeberangi Sungai Muar.

Ia  terpaksa berenang menyeberangi sungai. Berenang adalah perkara biasa baginya karena semasa tinggal di kampungnya Titi Gajah rumahnya berhampiran dengan sungai.

Di Melaka beliau bekerja kampung seperti menyemai anak padi, menyemat nipah untuk dibuat atap dan rokok daun. Karena keinginannya tak kesampaian dari Melaka beliau menumpang tongkang ke Medan dan terus ke Batubara.

Ia belajar di sana beberapa bulan dan kembali ke Melaka. Dari Melaka beliau berjalan kaki ke Selangor hingga sampai ke Perak.

Semasa di Perak Tuan Hussein tinggal di Sungai Rebana dan mengambil upah menyemat atap. Ia dikenal sebagai Lebai Hussein. Ia kemudian pindah ke Sungai Durian setelah dapat jemputan dari Tuan Haji Muhammad Hasan seorang ulama di Hilir Perak. Diambilnya Tuan Hussein sebagai anak angkatnya.

Di situ beliau ditugaskan mengajar kanak-kanak mengaji Quran. Ketokohannya sebagai ulama muda tersebar bila berlaku satu peristiwa perdebatan ilmiah di antaranya dengan Tuan Haji M Yunus seorang alim berasal dari Permatang Sintok, Seberang Perai.

Majelis perdebatan itu diadakan bagi menyelesaikan pertelingkahan Tuan Haji M Yunus dengan beberapa ulama lainnya termasuk Tuan Hussein yang berpunca dari perselisihan pendapat berhubung satu masalah tauhid.

Tuan Husein berjaya menunduk dan mematahkan hujah lawannya yang pada mulanya memperkecilkannya sebagai seorang muda. Dia memaksa pencabarnya kembali ke pangkal jalan dan mengakui kebenaran hujah-hujahnya.

Mulai dari saat itu Tuan Hussein mulai dikenali sebagai seorang alim yang punya pengetahuan yang luas serta sukar ditandingi. Sejak 1887-1935 M beliau berpindah 6 kali bermula dari Titi Gajah ke Alor Ganu pada 1887 M. Tiga tahun kemudian 1890 M beliau ke Bohol.

Di sana paling lama yaitu hampir 13 tahun sebelum pindah ke Bagan Ulu pada 1912 M. Setelah 7 tahun mengajar di Bagan Ulu beliau pindah ke Selingkoh, Sungai Limau, Yan.

Beliau pindah pula ke Batu 16, Padang Lumat pada 1924 H. Akhir sekali beliau berpindah ke Pokok Sena, Seberang Perai pada 1929 M. Di mana tinggal, Tuan Hussein mendirikan pusat pengajian yang jadi pusat tumpuan pelajar dari merata tempat sampai dari Indonesia dan Fathani.

Tak ada bilangan murid dan pondoknya tapi secara kasarnya di Bohol ada 600 orang, Bagan Ulu ada 400. Dan bilangan pondok di Selingkoh 50 buah, Padang Lumat 40 buah dan di Pokok Sena ada 100 buah pondok.

Tuan Hussein Kedah merupakan tokoh ulama Kedah yang menghasilkan paling banyak kitab. Kitab-kitabnya berkisar permasalahan ilmu tauhid, fikih dan tasawuf yang ditulis dalam bahasa jawi kecuali dua buah lagi dalam tulisan Arab.

Beliau mementingkan kekuatan ekonomi bangsanya. Dalam kitabnya disentuh agar bangsanya berniaga dalam lapangan pertanian dengan mengambil contoh Negara Siam dan India.

Padi adalah makanan asasi penduduk di sini dan disarankan penduduk agar diusahakan secara besar-besaran supaya penghasilan bukan setakat menampung keperluan keluarga tapi sumber ekonomi negara.

Sarananya bukan teori semata-mata tapi dipraktikkanya sendiri. Beliau berjaya memiliki beratus-ratus hektare tanah sawah, getah dan kelapa. Sebahagiannya diwakafkan untuk tapak masjid dan perkuburan.

Dalam buku 7 Wali tulisan saudara Abdul Ghani Said Tuan Hussein diiktiraf sebagai salah seorang Wali Melayu.

Lain-lain tokoh yang disebut pengarang 7 Wali itu adalah Habib Nuh, Tukku Paloh, Tuan Tulis, Syeikh Said Al-Linggi, Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi dan Tuk Kenali. Tuan Hussein berada di urutan terakhir selepas Tok Kenali.

Tuan Hussein jatuh sakit semasa berada di Pokok Sena, Seberang Perai. Tengku Abdullah juga sebagai murid yang selalu menziarahi beliau, menjemputnya supaya kembali ke Kedah.

Mulanya Tuan Hussein menolak tapi selepas dirayu anaknya Siti Maryam akhirnya beliau bersetuju. Tengku Abdullah membawa Tuan Hussein ke Batu 16, Padang Lumat pada 13 ZulKaedah 1354H/1935M dan selepas empat hari di situ Tuan Hussein meninggal dunia.

Tarikhnya adalah pada 17 ZulKaedah 1354H/1935M. Jenazahnya dikebumikan di tanah wakafnya sendiri di Titi Gajah setelah rayuan anak dan kaum keluarganya diperkenankan Tengku Mahmud (ayahanda Tengku Andullah) yang pada mulanya mau Tuan Hussein dikuburkan di Makam DiRaja Langgar.

Usianya ketika itu 74 tahun mengikut hijrah dan 72 tahun mengikut tahun masehi.(fed-dari berbagai sumber)

Sumber: Riau Pos, Minggu, 26 Agustus 2012
 

No comments: