KASMAH Binti Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kasma Booty lahir 1932 dan meninggal 1 Juni 2007. Dia merupakan salah seorang seniwati dan primadona film Melayu era 1940-an,19 50-an hingga penghujung 1960-an. Kasma Booty dilahirkan di Kisaran, Medan, Indonesia berdarah kacukan Belanda dan Jawa berasal dari keluarga seni. Sama seperti P Ramlee, Kasma Booty telah diuji bakat oleh BS Rajhans dan menjadi pelakon di Malay Film Productions. Kasma pernah menjadi pasangan P Ramlee dalam film Bakti, Sejoli, Juwita dan Damaq.
Sebelum bergelar bintang film, Kasma terlebih dahulu bergiat sebagai pelakon teater tradisional Bangsawan dengan kumpulan Rayuan Asmara di Medan pada usia belasan tahun. Kesempitan hidup mendorong Kasma untuk berdikari dan sejak belasan tahun lagi, Kasma telah membawa diri merantau ke Malaysia (waktu itu Malaya) dan mendapat kerja sebagai pelakon Bangsawan di Pulau Pinang dan Singapura.
Kasma memulakan kerjaya lakonan di usia muda disebabkan kesempitan hidup sejak berusia 14 tahun. Film pertama yang dibintanginya ialah Chempaka (1947), diikuti film Pisau Berachun (1948), Nur Asmara, Rachun Dunia, Bakti, Dewi Murni, Sejoli (1951), Juwita, Manusia, Mahsuri (1958), Keris Sempena Riau, Selendang Merah, Siti Payung, Ratapan Ibu, Tangkap Basah, Anak Manja dan Ragam P Ramlee (1964).
Pada 1952 pula, dia berhadapan dengan kontroversi terhadap pengurusan Shaw Brothers sehingga berlarutan ke mahkamah. Namun, demi mempertahankan prinsip dan marwah dia membuat keputusan menarik diri daripada membintangi film Antara Senyum dan Tangis. Pada 1958, atas permintaan Tunku Abdul Rahman, Kasma berlakon film Mahsuri terbitan Cathay Keris.
Pada era akhir keikutsertaannya dalam lakonan, Kasma banyak berlakon dalam film terbitan Studio Merdeka di Hulu Klang. Antaranya Keris Sempena Riau, Selindang Merah, Ratapan Ibu (L Krishnan), Siti Payong, Tangkap Basah, Anak Manja (Salleh Ghani) dan Ragam P Ramlee (P Ramlee).
Di zaman kegemilangannya juga dia pernah mendapat julukan sebagai Elizabeth Taylor Malaya dan Ratu Film Melayu karena kejelitaan paras wajahnya. Tak hanya memiliki rupa paras yang jelita, dia mempunyai segala aura dan kharisma yang diperlukan sebagai seorang primadona Melayu pada zaman meledaknya film Melayu klasik di Jalan Ampas, Singapura satu ketika dulu. Tidak heran mengapa dia turut dihormati seniman dan seniwati seperjuangannya pada zaman itu, tidak terkecuali Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sendiri.
Namun setelah membintangi hampir 20 buah film Kasma bertekad meninggalkan dunia seni pada 1992. Di usia tuanya, beliau banyak menghadapi masalah kesehatan dan banyak menghabiskan masa menumpukan perhatian terhadap ibadahnya dan duduk bersama anak-anak dan cucunya di kediamannya di Klang Gate, Hulu Klang.
Dia telah mendirikan rumahtangga dengan dengan Jacob Booty dan dikurniakan lima anak. Nama kelima-lima anaknya diambil bersempena dengan judul film yang pernah dilakonkannya. Dia menghembuskan napas terakhir pada hari Jumat, 1 Jun 2007, pukul 2 pagi di Hospital Ampang ketika berusia 75 tahun selepas sekian lama menghidap komplikasi paru-paru berair. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Klang Gate, Selangor pada hari yang sama.
Anugerah yang pernah diraihnya antara lain Anugerah Merak Kayangan bagi Pelakon Wanita Veteran di Festival Film Malaysia ke-7 (1987) di Melaka dan Anugerah Khas Juri di Pesta Film Asia Pasifik ke-35 di Kuching pada 1990.(fed/berbagai sumber)
Sumber: Riau Pos, Minggu, 27 Januari 2013
No comments:
Post a Comment